Jika hati anda lapar, jangan biarkan ia terus kebulur. Kerana seperti badan, apabila dibiarkan kebuluran, sudah tentu akan sakit dan seterusnya mengakibatkan kematian. Oleh itu, carilah makanan untuk hati. Hati yang lapar sebenarnya mempunyai makanan tersendiri, ianya sangat istimewa dan menjimatkan wang ringgit. Tidak perlulah anda mengeluarkan wang beratus atau beribu-ribu ringgit, makanan hati yang istimewa ini ada disebutkan di dalam hadith nabi yang berbunyi:
لا يزال لسانك رطبا من ذكر الله
Sentiasalah basahi lidahmu dengan menyebut nama Allah
Rakan-rakan yang dikasihi sekelian, sebenarnya makanan yang paling diperlukan dan memberi nutrisi yang secukupnya kepada hati ialah Zikrullah, yang bermakna zikir kepada Allah. Zikir bermakna memuji dan mengagungkan Allah. Namun, masih ramai yang sanggup berlapar dan dahaga kerana mereka sanggup membiarkan sang hati mati kekeringan akibat tidak mejamah makanan ataupun air yang dapat menghilangkan kebuluran. Sungguh mereka lupa, lali dengan godaan dunia. Maka bila hati dibiarkan kebuluran, mengecutlah ia menjadi kering dan kusam, seolah-olah badan manusia yang dipaksa ber diet setiap hari.
Bayangkan bila perut anda semua lapar, sudah tentu makanan akan dicari dengan segera. Sehinggakan bila lapar ketika tengah malam pun sanggup untuk keluar mencari mcd, kfc dan segala jenis kedai makan yang dibuka 24 jam. Sanggup bersusah payah keluar rumah walaupun ketika itu mata sudah mengantuk dan badan sedang keletihan akan tetapi mengapa bila hati anda lapar anda sanggup biarkan hati anda kebuluran sedemikian rupa? Sedangkan lapar hati juga seperti laparnya perut. Bila bergurindam mulalah nak mencari makanan , tetapi bila lapar hati hanya sesetengah manusia sahaja yang mencari tuhan . Tetapi bagi sebahagian lagi daripada mereka masih enak dibuai kegelapan.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat semua. Jangan biarkan hati kita lapar,kerana bila hati kita lapar tidak mustahil hati kita akan mati kegelapan tanpa sinar hidayah daripada Allah s.w.t. Maka hendaklah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan menyebut kalimah Allah dan memuji Allah s.w.t. Wallahualam.
(dipetik dari i luv islam.com)