23 July 2007

wanita......




Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di
zaman Rasulullah, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu
dengan Rasulullah SAW
untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita.


Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa'. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana, dan memberi salam dan memberi tazkirah
seperti berikut:

"Assalamualaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, aku
lihat kamu ini lebih banyak di neraka".

Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang
demikian? Adakah sebab kami ini kufur?'

Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada 2 tabiat kamu
tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:
1. Kamu banyak mengutuk/menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami."

Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya :
1. Banyak beristighfar
2. Banyak bersedekah.

Keterangan:
Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di
bawah:

Contoh 1Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba,
akibat geram dan marah kita mungkin berkata, "Driver bas ni dah mampus agaknya."
Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, harta suami pun
kena sumpah.

Contoh 2Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata "Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis."

Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan
di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.

Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah ditanya oleh seorang suami
yang kurang faham apa yang dimaksudkan dengan 'kufurkan kebaikan suami'.
Rasulullah SAW berkata,"Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri,
jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu
ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan
berkata, "Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak"

(Terjemahan langsung dari Arab).
[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan
perkataan seperti berikut:
"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".][Tak guna sesen pun']
Rasulullah SAW sambung lagi,'Mana-mana isteri yang berkata,
"Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak", maka akan gugur
pahala-pahala amalannya.'

Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita
banyak
beristighfar dan bersedekah,
kerana ia dapat menyelamatkan kita dari perkara yang boleh menjerumuskan
kita ke dalam api neraka seperti
yang disebutkan tadi.

Fadhilat beristighfar:

a. Sabda Rasulullah SAW : "Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70X sehari,
dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk)."
Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW
menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih
dari 100 X sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan
amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.


b .Sabda Rasulullah SAW : "Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan
dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu
yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita"


c. Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya
dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak.

SedekahSedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga
termasuk:

1. Tuturkata/percakapan yang baik. Yang paling utama ialah terhadap
keluarga sendiri.

Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak
menambat hati suami.


Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang
pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang
hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama
beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu di kalangan
isteri-isteri baginda
.


Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada
Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, "Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya".

2. Memberi salam.
3. Memaniskan wajah.


Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah."

Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi : "Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah."
Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita
bertafakkur dan muhasabah diri-diri kita.
Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke
dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.

"SAMPAIKANLAH WALAU SEPOTONG AYAT -Sabda Rasulullah SAW"




RAHSIA DISEBALIK DEMAM




Demam itu ialah penyakit yang menyebabkan suhu tubuh melebihi suhu biasa. Jika demikian tiada siapa pun yang tidak pernah merasa demam, namun apakah hakikat penyakit demam itu sebenarnya dari sudut agama dan apakah pula hikmahnya?



Hakikat Demam.

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radhiallahu anhuma mengatakan yang maksudnya :


"Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu anha dari Nabi Shallallahu alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air". (Hadith riwayat Muslim)


Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.


Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.


Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.



Mengeluh Dan Mengadu Kerana Demam.

Memang tidak dinafikan bahawa ada setengah orang mengeluh kerana demam atau mengerang kerana kesakitan. Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama?


Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apa yang dilarang ialah kita mengeluh dan mengadukannya kepada orang lain sesama manusia. Nabi Shallallahu alaihi wasallam sendiri, para sahabat
dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.


Diriwayatkan bahawa Al-Hasan Al-Bashri sewaktu sahabat-sahabatnya datang ke rumahnya, mereka menemuinya sedang mengadukan sakit giginya kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan berkata yang ertinya :

Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada (yang lain) yang mengasihani.



Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Akan tetapi jika seseorang itu memberitahu atau menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka dalam hal ini tidaklah menjadi satu kesalahan. Begitu juga jika seseorang itu mengeluh kerana sakit, tetapi keluhannya itu boleh mendatangkan kerehatan kepadanya atau boleh meredakan kesakitannya, maka tidaklah juga menjadi apa-apa.



Al-Quran ada menceritakan tentang kesabaran Nabi Ayyub Alaihissalam dalam menempuhi segala penderitaan. Di antara penderitaan yang Nabi Ayyub alami ialah berpenyakit gatal. Penyakit gatal ini sangat dahsyat. Apabila digaru dengan kuku, maka kuku baginda akan tanggal, tetapi masih juga bertambah gatal. Kemudian baginda terpaksa menggarunya dengan barang yang kesat. Tidak cukup dengan itu, baginda menggaru badannya dengan pecahan periuk dan akhirnya dengan batu. Namun masih juga merasa gatal. Sehingga dengan tidak disedarinya dagingnya telah luka dan koyak. Maka keluar dari tubuh baginda yang luka itu, nanah yang baunya sangat busuk. Orang ramai yang tinggal di sekitarnya tidak tahan dengan bau busuk itu, lalu mereka keluarkan Nabi Ayyub dari negeri tempat tinggalnya ke tempat terpencil. Semua orang
memencilkannya kecuali isterinya yang merawatnya.



Nabi Ayyub tidak pernah mengeluh dengan apa yang menimpanya, bahkan dia bersifat sabar dan tahan menderita. Apa yang dilakukannya hanyalah bermohon kepada Allah agar mengasihaninya. Cubalah kita perhatikan permohonan Nabi Ayyub yang disebutkan di dalam Al-Quran :



Tafsirnya : "Dan Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani". (Surah Al-Anbiya¡¦: 83)



Jika kita perhatikan kalimat-kalimat yang disebut oleh Nabi Ayyub Alaihissalam dalam ayat ini, alangkah halusnya budi bahasa baginda dalam rayuannya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Baginda menyebut "aku disentuh" dan tidak menyebut perkataan "aku ditimpa". Di sini menggambarkan bahawa celaka itu sendiri yang datang menyentuh dirinya. Nabi Ayyub tidak menyebut juga "atas kehendakMu", kerana kesopanannya yang sangat tinggi terhadap Allah Subhanahu Wa Taala. Selepas itu, rayuan baginda disudahi dengan kata-kata yang halus juga iaitu: "Sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani".


Pada suku kata pertama, Nabi Ayyub mengadukan perasaannya yang dapat menimbulkan rasa kasihan dan pada suku kata kedua disebutkannya sifat Allah yang lebih pengasih daripada sesiapa jua pun yang pengasih. Hanya inilah permohonan Nabi Ayyub kepada


Allah. Dia tidak merungut dan mengeluh, apatah lagi menyesali apa yang telah berlaku. Dia cuma memohon belas kasihan daripada Allah Subhanahu Wa Taala.


Inilah satu kisah yang patut kita ambil iktibar, pengajaran dan contoh tauladan daripadanya. Walaupun Nabi Ayyub telah ditimpa penyakit, harta bendanya punah-ranah, anak-anaknya ditimpa malang dan mati semuanya, tetapi berkat sabarnya dan imannya, Allah Subhanahu Wa Taala telah mengabulkan doa dan rayuannya, lalu dia pun sembuh seperti sediakala dan berkembanglah keturunannya serta dikurniakan harta benda yang melimpah ruah.



Mencaci-maki Demam.

Selaku seorang muslim yang beriman, sepatutnya memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, mungkin tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian oleh Nabi Shallallahu alaihi wasallam. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu anhu yang maksudnya :


"Bahawasanya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda:

"Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?


Dia menjawab: "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya".


Nabi Shallallahu alaihi wasallam bersabda: "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi".

(Hadith Riwayat Muslim)


Begitulah, segala apa jua yang datang daripada Allah, sama ada berupa rahmat, hendaklah kita syukuri, atau berupa musibah, maka hendaklah kita sabar menempuhinya.



Demam Penebus Dosa.

Sebenarnya larangan mencaci maki demam itu mempunyai rahsia atau hikmat tertentu yang wajar kita ketahui dan ingati.


Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir Radhiallahu anhu yang disebutkan sebelum ini, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.


Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan.

.

kematianku




Wahai saudaraku apabila malam ini malaikat maut menghampiri kita, maka solat
kita hari ini adalah solat terakhir kita. Wahai saudaraku, ingatlah satu desah
nafas adalah satu langkah menuju kubur kita. Semakin hari sesungguhnya kita
semakin dekat degan kematian kita. Kematian bukan hanya milik orang lain tetapi
juga milik kita. Ingatlah bahawa ajal dapat menjemput kita dimana sahaja.
Mungkin dikala tidur, dikala berjalan. Ingatlah bahawa ajal tidak dapat diduga.

Wahai saudara-saudaraku,


kita pasti akan mati dan kita pasti akan dipertanggung jawabkan walauapapun yang kita lakukan. Tidak ada sedikit pun yang kita lakukan tidak akan kembali kepada kita sendiri. Allah melihat persis apa yang kita lakukan;tidak ada yang tersembunyi. bersiap sediakah kita andaikata malaikat maut menjemput kita hari ini ?

Ingatlah waktu sarakatul maut adalah saat yang sangat pahit. Kita sering melihat
bagaimana haiwan korban yang tidak mempunyai dosa, Allah memperlihatkan
kepada kita pahitnya saat ajal berpisah dari tubuh kita dengan mata terbeliak, lidah
menjulur, badan menggelepar-gelepar. Sesungguhnya kitapun akan sedemikian.
Walaupun kelihatan tenang, sesungguhnya pahit,kecuali bagi mereka yang
merindukan Allah.

Andaikata kita sudah mati, tidak ada lagi yang dapat menolong, harta-harta kita
yang bermati-matian kita kumpul tak dapat kita bawa kerana bukan milik kita
tetapi milik Allah. Tinggallah sehelai kain kafan yang dililitkan ditubuh kita.
Bayangkanlah apabila tubuh ini sudah kaku, wajah ini sudah beku. Kain kafan
sudah mulai dibungkus.

Bersyukur kalau kita ada yang menguruskannya. Bayangkanlah bila tubuh kita
sudah terbujur kaku. Bersyukur bila ada yang menyolatkan kita. Isteri, suami,
anak-anak kita hanya boleh menangis disamping kita. Kita akan diusung kekamar
kita yang baru, iaitu ke liang lahat. Wajah kita akan dibuka untuk menyentuh
tanah dan papan akan ditutup disekitar kita.

Perlahan-lahan orang yang kita cintai akan menaburkan tanah sehingga semakin
gelap, dan kita makin sendiri. Tanah semakin penuh, kita semakin jauh dari mereka.
Inilah pertemuan terakhir dengan mereka

Tinggallah kita sendiri di liang lahat, mereka semua akan pulang. Berenga, cacing
sudah mulai mengunyah tubuh kita. Tetapi yang menjadi masalah ketika mulai
datang malaikat kubur. Mungkin pertanyaannya: ? Wahai mahkluk malang berpuluh-
puluh tahun engkau hidup di dunia, betapa banyaknya engkau menghianati Allah
yang selalu menjamumu. Betapa banyak nikmatnya hanya kau balas dengan
pengkhianatan? ?

Mungkin ketika itu dinding kubur mulai menghimpit tubuh. Sebetulnya solat kita
akan membela, tetapi solat kita terlalu lemah, kerana tidak pernah khusyuk.

Mungkin sedekah kita akan membela, tetapi sedekah kita terlalu lemah kerana kita
terlampau bakhil.

Mungkin puasa kita akan menolong, tetapi puasa kita hanya puasa perut, mata
tidak pernah puasa, mulut tidak pernah puasa hanya menyakiti orang lain.

Mungkin haji kita akan menolong, tetapi haji kita haji mardun, yang tertolak
kerana niatnya tidak benar.

Tinggallah kita menderita, hanya doa anak dan keluarga kita yang kita
tunggu-tunggu, tapi bagaimana?

Mereka tidak boleh berdoa kerana kita tidak pernah mengajar mengenal Allah
dengan baik. Tahukah saudaraku, siksa kubur terhenti apabila anak kita berdoa
atau orang yang Allah amanahkan.

Doa tersebut bagai cahaya yang masuk sehingga kubur kita menjadi terang
benderang. Berbahagialah bagi orang orang yang cukup bekalan, kubur akan
menjadi salah satu kenikmatan. Solatnya menjadi cahaya terang benderang,
sedekahnya menjadi ganjaran, wakafnya menjadi pahala yang tak pernah putus,
orang-orang yang ditolong akan selalu mendoakan, ilmu yang diajarkan akan
mengalirkan ganjaran.

Wahai saudaraku, kenapa kita selalu menganggap kematian itu kelihatannya adalah
untuk orang lain, padahal kita pasti mati. Setiap perbuatan kita di dunia akan
dihitung lengkap, apakah kebaikan atau keburukan yang lebih banyak.

Ya Allah, Engkaulah yang Maha Mengetahui bila ajal akan menjemput kami.
Kain kafan mana yang akan dililitkan di tubuh ini. Juga liang lahat mana yang
akan kami huni. Wahai Allah izinkanlah kami memiliki sisa umur yang benar,
ampunilah andaikata selama ini kami mengkhianatimu. Jadikan harta yang engkau
amanahkan benar-benar dapat menjadi cahaya dalam kubur kami kelak.
Jadikanlah solat-solat kami menjadi pendamping kami Ya Allah.





KESIMPULAN

Saudaraku, sebaik-baiknya manusia adalah manusia yang selalu ingat mati dan
paling mempersiapkan diri kita untuk mati dan selalu berfikir hari ini adalah hari
yang terakhir kita. Luruskan niat dan berbuatlah yang terbaik setiap saat, jangan
pernah sia-siakan satu kejadianpun, kecuali harus membawa manfaat bagi dunia
dan akhirat.

Ya Allah berikan kesempatan untuk memberikan yang terbaik dalam hidup ini
berguna bagi dunia dan bermanfaat bagi akhirat. Kita songsong malaikat maut
dengan amalan yang utama.

Selamat berjuang saudaraku sekalian untuk mengharungi sisa umur ini. Semuga
kita diberi kesempatan untuk mempersembahkan yang terbaik dan kita berjumpa
dihadapan Allah kelak di Syurga. Aamin Ya Rabbal A?lamin, hidup untuk
mempersembahkan yang terbaik berguna untuk dunia dan bermanfaat bagi akhirat.
Selamat berjuang.